BTS Media

Data rakyat Malaysia lahir antara 1940-2004 didakwa dijual lebih RM40,000

GAMBAR ATAS: Blogtrepreneur, CC BY 2.0 <https://creativecommons.org/licenses/by/2.0>, via Wikimedia Commons.

 

Dakwaan kebocoran data mengandungi maklumat 22.5 juta rakyat Malaysia dilahirkan antara 1940 dan 2004, yang dikatakan dicuri daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sekali lagi mempersoalkan tahap integriti langkah keselamatan data negara.

Akhbar The Star yang melaporkan perkara ini pada Rabu (18 Mei) memetik portal teknologi tempatan, Amanz bahawa pangkalan data bersaiz 160GB itu dijual pada harga AS$10,000 (RM43,950) melalui ‘dark web’.

Pada ‘screenshot’ yang dikongsi portal itu, penjual mendakwa pangkalan data kali ini lebih besar berbanding yang dijualnya pada September tahun lalu, iaitu hanya mengandungi data peribadi individu sehingga 1998.

Dalam kedua-dua kejadian itu, didakwa data berkenaan telah disalurkan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melalui API My Identity, iaitu platform perkongsian data berpusat yang digunakan oleh agensi-agensi kerajaan.

Bagaimanapun, apabila pangkalan data pertama yang didakwa melibatkan individu dilahirkan antara 1979 hingga 1998 didedahkan tahun lepas, dan dijual pada harga 0.2 BTC (RM35,350), Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada 29 September 2021 menafikan berlaku pencerobohan (baca sini).

The Star memetik seorang peguam, Foong Cheng Leong berkata ketidaktelusan dalam siasatan berhubung kebocoran data di Malaysia agak mengecewakan.

Beliau berkata perlu penjelasan tentang cara siasatan dilakukan, dan apa langkah diambil bagi memastikan keselamatan data.

Peguam itu juga menggesa supaya penyiasatan baharu dilakukan oleh agensi-agensi terbabit, termasuk Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) bagi memastikan sama ada kebocoran itu benar berlaku.

Apabila dihubungi oleh The Star, JPDP dikatakan enggan membuat sebarang komen buat masa ini.

Bagi Foong, data yang didakwa dibocorkan itu boleh digunakan oleh ‘scammer’ untuk menipu mangsa.

Akhbar The Star telah menghubungi pihak CyberSecurity Malaysia, tetapi badan itu enggan memberikan komen, selain berkata bahawa tersebut adalah di bawah jurisdiksi JPDP.

Pihak JPN juga belum lagi memberikan respons apabila dihubungi.

-BTS Media

Leave a Comment