BTS Media

Lebih 800,000 data peribadi, gambar, didakwa dicuri daripada MySPR, dijual pada harga kira-kira RM9,000

DATA peribadi lebih 800,000 rakyat Malaysia yang didakwa dicuri daripada laman web MySPR Daftar, dijual di forum dalam talian dengan harga AS$2,000 (RM9,240), dalam bentuk mata wang kripto bitcoin atau monero.

Penjual itu mendakwa pangkalan data tersebut mengandungi maklumat 802,259 pengguna, termasuk selfie dan gambar MyKad yang digunakan untuk pendaftaran undian dalam talian di laman web MySPR Daftar menerusi sistem elektronik Kenali Pelanggan Anda (eKYC).

Pangkalan data itu didakwa mengandungi lebih 1.6 juta foto, dengan saiz fail 67GB.

Menurut pemuat naik, pangkalan data itu turut mengandungi nama penuh, nombor MyKad, alamat e-mel, kata laluan, nombor telefon, tarikh lahir dan alamat pengundi.

Walaupun post tersebut pertama kali dibuat pada 11 April, kewujudannya telah didedahkan oleh pengguna Twitter @acaiijawe pada Rabu (9 Nov).

Dalam post lain, pemuat naik menjual data peribadi milik 22.5 juta rakyat Malaysia dilahirkan antara 1940 dan 2004, yang didakwa diperoleh daripada My Identity API.

Sehingga masa laporan ini disiarkan, kedua-dua bebenang media sosial masih ada di forum.

Laman web MySPR Daftar, yang dilancarkan pada 2019, membolehkan rakyat Malaysia mendaftar dalam talian sebagai pemilih, namun dengan peralihan kepada pendaftaran automatik tahun ini, sistem MySPR kini hanya berfungsi untuk menukar alamat mengundi dan permohonan untuk mengundi pos bagi mereka yang berada di luar negara dan lain-lain individu yang layak.

Jabatan Perlindungan Data Peribadi enggan mengulas, tetapi berkata bahawa Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) tidak terpakai kepada badan kerajaan negeri dan persekutuan, dan Akta tersebut berfungsi untuk mengawal selia pemprosesan maklumat peribadi dalam transaksi komersial.

Sementara itu, CyberSecurity Malaysia (CSM) berkata ia masih menunggu maklum balas daripada bahagian teknologinya, manakala Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) masih belum memberi maklum balas.

-BTS Media

Leave a Comment