Oleh Yusoff A. Shariff
DATA peribadi berjuta rakyat Malaysia berisiko terdedah disebabkan ciri keselamatan yang lemah dalam aplikasi MyJPJ yang dilancarkan baru-baru ini, kata Wee Ka Siong.
“Kementerian Pengangkutan baru-baru ini melancarkan Lesen Kenderaan Bermotor (e-LKM) dan Lesen Memandu Malaysia digital (e-LMM). Data semua menteri dan timbalan menteri boleh diperoleh hanya melalui satu ciri dengan nombor MyKad,” kata Wee.
“Saya boleh tunjukkan bagaimana ketirisan ini boleh berlaku dan jika ia berlaku, data 33 juta rakyat Malaysia boleh diakses oleh mana-mana individu,” tambahnya ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Rabu (15 Feb).
Beliau seterusnya berkata bahawa data kira-kira 16 juta lesen memandu juga berisiko, dan beliau tidak bersetuju dengan penggunaan aplikasi itu apabila diberi taklimat mengenainya semasa menjadi Menteri Pengangkutan.
“Ia amat berbahaya kerana banyak nombor MyKad boleh diperoleh melalui semakan terhadap mereka yang telah mendaftar sebagai pengundi,” katanya.
Walaupun mengakui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan ciri keselamatan tambahan, Dr Wee berkata ia tidak mencukupi.
Beliau menggesa kerajaan mengambil langkah segera untuk menangani isu itu dan mengkaji semula keseluruhan sistem.
Wee juga berkata bahawa pihak polis turut kurang bersetuju mengenai penggunaan aplikasi tersebut.
“Ini melibatkan data yang sepatutnya dilindungi mengikut Akta Perlindungan Data,” katanya.
Jumaat lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan projek perintis penggunaan mod paparan digital e-LKM dan e-LMM. E-LKM ialah versi e-pelekat cukai jalan untuk kenderaan milik persendirian, manakala e-LMM ialah versi e-lesen memandu Malaysia.
Kedua-dua e-LKM dan e-LMM boleh dipohon melalui laman web Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di https://public.jpj.gov.my atau aplikasi MyJPJ mulai Feb 10.
Pada Selasa (14 Feb), Ketua Pengarah JPJ Zailani Hashim mengumumkan ciri-ciri keselamatan yang dipertingkat dan mesra pengguna pada aplikasi MyJPJ dan portal awamnya yang boleh diakses secara berperingkat mulai Rabu (15 Feb).
Beliau berkata ini adalah tambahan kepada ciri keselamatan dua peringkat sedia ada, iaitu kata laluan dan kod TAC.
-BTS Media