BTS Media

Wang RM3.4 juta dirampas daripada 533 pelanggan telco

Oleh Zainal AS Rashid

MAHKAMAH Sesyen di Shah Alam membenarkan kerajaan melucut hak RM3.4 juta daripada 533 pelanggan sebuah syarikat telekomunikasi mudah alih yang dipercayai membeli kad prabayar untuk aktiviti haram.

Hakim Rozilah Salleh, dalam membenarkan permohonan itu berkata beliau berpuas hati kerana pihak pendakwaan telah memenuhi semua syarat untuk wang itu dirampas.

Susulan laporan pada 2020, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dengan bantuan Digi Telecommunications Sdn Bhd, telah menjalankan siasatan berhubung pembelian 773 kad oleh 593 pelanggan yang melibatkan deposit sejumlah besar wang.

Penyiasat percaya sebahagian besar wang itu digunakan untuk perjudian dalam talian dan pelacuran, lapor FMT.

Pada Februari 2021, SPRM membekukan sejumlah RM4.24 juta yang dipegang oleh syarikat itu.

Enam puluh pelanggan, yang memegang 127 kad telah berjaya membuktikan bahawa pembelian mereka adalah untuk tujuan sah. Kira-kira RM835,000 telah dikembalikan kepada mereka.

Bagaimanapun, 533 pelanggan lagi yang secara kolektif membayar sejumlah RM3.4 juta gagal memberikan respons, justeru mendorong SPRM memfailkan permohonan pada Januari tahun ini untuk melucut hak wang itu.

Digi, yang dinamakan sebagai responden bagi permohonan pelucuthakan, tidak membantah permohonan itu.

Syarikat tersebut diwakili oleh peguam kanannya, V Muraliharan, manakala Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai dan Shahrom Idris mewakili SPRM.

-BTS Media

Leave a Comment