GAMBAR: Facebook.
SEORANG pengunjung terkejut dimaklumkan memiliki wang tidak dituntut berjumlah RM12,000 hasil pemeriksaannya di kaunter Wang Tak Dituntut (WTD) disediakan sempena program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
Menurut Ketua Unit WTD Jabatan Akauntan Negara Kelantan, Nur Anis Sahibudin, senario itu antara ‘kisah’ menarik sepanjang dua hari kaunter tersebut beroperasi, sejak Jumaat.
“Setakat semalam, sudah 1,273 orang datang membuat pemeriksaan di kaunter ini. Rata-rata kelihatan terkejut kerana tidak tahu memiliki wang yang tidak dituntut.
“Kaunter pemeriksaan yang disediakan ini secara tidak langsung peluang serta kesedaran selain memudahkan pengunjung membuat pemeriksaan sekiranya mereka ada wang yang tidak dituntut, hanya beri kad pengenalan petugas akan membantu membuat pemeriksaan,” katanya menurut Bernama.
Nur Anis berkata, selain di kaunter, orang ramai juga boleh membuat semakan WTD menerusi portal eGUMIS.
Seorang pengunjung Mohamad Amsyari Mohamad Suhaimi, 40, berkata beliau mengetahui mengenai wang tidak dituntut, namun tiada masa untuk membuat pemeriksaan.
“Saya periksa tadi ada wang tidak dituntut di dalam sebuah bank berjumlah lebih RM500, mungkin baki tu dari zaman belajar dulu…lama sangat memang tak ingat langsung.
“Baguslah ada perkhidmatan sebegini di program Jelajah AKM Kelantan,” katanya.
Jelajah AKM Kelantan yang bermula Jumaat berakhir hari ini.