BTS Media

SPRM sekarang kata ada pula kes melibatkan wang zakat

Oleh Yusoff A. Shariff

Kurang seminggu selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan menyatakan tiada bukti penyelewengan dana zakat di negeri itu pada 2019, pihak agensi di peringkat persekutuan kini berkata siasatan masih berjalan.

Pengarah Siasatan Kanan SPRM Hishamuddin Hashim semalam berkata satu kes telah dibuka dan kini dalam siasatan berhubung dakwaan penyelewengan wang zakat membabitkan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan pada 2019.

Beliau berkata tumpuan siasatan adalah rasuah dan salah guna kuasa, lapor NST.

Hishamuddin berkata kes itu sedang diteliti semula dengan melihat kenyataan, dan akan dirujuk semula kepada timbalan pendakwa raya.

Pada Khamis, Pengarah SPRM Negeri Sembilan Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail berkata kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan itu dibuka semula pada 2019 dan siap pada tahun itu.

“Siasatan mendapati tiada bukti kesalahan jenayah rasuah di bawah Akta SPRM 2009,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehari kemudian, Ketua Muafakat Nasional (MN) Negeri Sembilan dan aktivis Badrul Hisham Shaharin telah memberikan tempoh seminggu supaya semua pihak yang terlibat dalam siasatan rasuah dan penyelewengan melibatkan dana zakat itu memberikan penjelasan sah mengenai isu tersebut.

Beliau berkata MN akan berjumpa dengan Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan jika tiada apa-apa penjelasan diberikan.

“Kita akan ambil tindakan jika langsung tiada penjelasan atau tindak balas positif. Apabila kita sebut penjelasan, maksud kita mesti ada jawapan untuk semua kronologi yang kita berikan… ia tidak boleh menjadi jawapan ‘tiada kes’,” katanya.

Badrul Hisham, yang telah menyerahkan dokumen berkaitan dakwaan penyelewengan kepada SPRM, berkata isu dana zakat adalah sensitif bagi umat Islam dan oleh itu memerlukan penjelasan yang betul dan sah.

-BTS Media

 

Leave a Comment