GAMBAR ATAS: The Star.
Oleh Yusoff A. Shariff
PERBICARAAN rasuah Rosmah Mansor membabitkan RM7 juta pengubahan wang haram dan pengelakan cukai dijadualkan selama 15 hari pada Mei tahun depan.
Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh perbicaraan semasa pengurusan kes di Kuala Lumpur pada Khamis.
Tarikhnya ialah 12 Mei, 28 Jun, 30 Jun, 6 -7 Julai, 27 – 28 Julai, 31 Julai, 1 – 2 Ogos, 11 Ogos, 24 – 25 Ogos dan 7 – 8 Sept.
Mahkamah juga menetapkan 20 Feb untuk pihak berkenaan mengemas kini keputusan rayuan Rosmah di Mahkamah Rayuan untuk mengecualikan Hakim Mohamed Zaini daripada mempengerusikan perbicaraan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn, manakala Rosmah diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincent.
Rosmah, 70, berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Kesalahan didakwa dilakukan di cawangan Bangunan Getah Asli Affin Bank Berhad di Jalan Ampang, Kuala Lumpur antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim antara 1 Mei 2014 dan 1 Mei, 2018.
Usaha Rosmah untuk mengecualikan Hakim Mohamed Zaini daripada mendengar kes itu kini di peringkat Mahkamah Rayuan.
Dalam permohonannya, Rosmah antara lain mendakwa terdapat bahaya Hakim Mohamed Zaini berprasangka dan berat sebelah terhadapnya jika beliau mengetuai kes pengubahan wang haram kerana beliau telah pun mempengerusikan perbicaraan rasuah hibrid solarnya berkaitan sekolah luar bandar di Sarawak.
Pada 1 Sept, hakim yang sama mendapati Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak, dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta.
Rosmah diikat jamin sementara menunggu rayuannya terhadap sabitan dan hukuman di Mahkamah Rayuan.
-BTS Media