GAMBAR ATAS: The Star.
Oleh Zainal AS Rashid
Mahkamah Tinggi menetapkan 7 Julai untuk menyampaikan keputusan dalam kes rasuah Rosmah Mansor membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion di Sarawak.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan juga menetapkan pukul 9 pagi untuk prosiding bermula pada hari keputusan.
Perbicaraan pembelaan Rosmah berakhir pada 23 Feb dengan 25 saksi; 23 daripada pihak pendakwaan dan dua daripada pihak pembelaan, termasuk Rosmah.
Perbicaraan berlangsung selama 42 hari.
Pada 18 Feb tahun lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Rosmah membela diri atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Rosmah, 70, menghadapi satu pertuduhan menerima RM187.5 juta dan dua pertuduhan rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.
Suapan itu didakwa diterima melalui bekas pegawai khasnya, Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Sistem Hibrid Solar Photovoltaic (PV) Bersepadu serta sistem jana kuasa.
-BTS Media