SELEPAS mengemukakan 107 barang kes dan memanggil 18 saksi, pihak pendakwaan dalam perbicaraan rasuah Ahmad Zahid Hamidi menutup kesnya pada Khamis (11 Ogos.
Ahmad Zahid didakwa atas 33 pertuduhan menerima rasuah daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) semasa menjadi menteri dalam negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu untuk meneruskan operasi pusat sehenti di China dan Sistem Visa Asing (VLN).
Dakwaan rasuah itu juga bagi memastikan perjanjian kontrak pembekalan sistem bersepadu VLN oleh syarikat itu dikekalkan.
Semasa disoal balas oleh peguam bela Ahmad Zaidi Zainal, saksi akhir pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) V. Mahendran berkata dia tidak memanggil bekas menteri dalam negeri Hishammuddin Hussein untuk merekodkan kenyataannya, walaupun nama Hishammuddin ada dalam laporan SPRM yang memulakan siasatan kes itu.
Hishammuddin adalah menteri dalam negeri dari 2009 hingga 2013 sebelum Ahmad Zahid memegang jawatan itu.
Mahendran berkata kenyataannya tidak direkodkan kerana namanya tidak terdapat dalam lejar bekas pengurus pentadbiran UKSB, David Tan, dan juga kerana tiada bukti berlaku rasuah.
Ahmad Zaidi juga berkata bekas timbalan perdana menteri itu hanya menerima dua bayaran RM100,000 setiap seorang daripada UKSB, tetapi Mahendran tidak bersetuju.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Toran memberitahu hakim Mohd Yazid Mustafa bahawa pihak pendakwaan akan memanggil 27 saksi sekiranya Ahmad Zahid diarah membela diri.
Mahkamah menetapkan 1, 2, 5, 6, 7 dan 8 Sept untuk kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan membuat hujahan lisan.
Perbicaraan kes itu bermula pada Mei 2021.
-BTS Media