ESOK akan ditentukan sama ada Ahmad Zahid Hamidi dibebaskan atau diperintah membela diri atas 40 pertuduhan rasuah berhubung sistem visa asing (VLN).
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Yazid Mustafa dijadual menyampaikan keputusannya pada akhir kes pembelaan pada pukul 9.00 pagi.
Jika keputusan memihak kepada pihak pendakwaan, Zahid, 69, akan dipanggil membela diri. Jika tidak, bekas timbalan perdana menteri itu akan dibebaskan dan dilepaskan.
Pendakwaan diwakili oleh timbalan pendakwa raya Raja Rozela Raja Toran, Wan Shaharuddin Wan Ladin, Abdul Malik Ayob, Zander Lim Wai Keong, and B. Thavani, manakala peguam Hisyam Teh Poh Teik, Ahmad Zaidi Zainal and Hamidi Mohd Noh, mewakili Zahid.
Pihak pendakwaan menutup kesnya pada 11 Ogos lalu selepas memanggil 18 saksi, dalam perbicaraan yang bermula pada 24 Mei 2021.
Antara saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan ialah bekas ketua setiausaha KDN Alwi Ibrahim dan tiga bekas pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) Harry Lee Vui Khiun, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani, dan David Tan Siong Sun.
Pada 26 Jun 2019, Zahid didakwa di mahkamah sesyen Kuala Lumpur atas tujuh pertuduhan rasuah berhubung sistem VLN dan pada 31 Julai tahun yang sama, mahkamah membenarkan permohonan presiden UMNO itu untuk memindahkan kes tersebut ke mahkamah sesyen Shah Alam untuk didengar bersama dengan 33 pertuduhan rasuah lain, juga berkaitan dengan VLN.
Kesemua kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk dibicarakan.
Bagi 33 pertuduhan, Zahid didakwa menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta (RM43.62 juta) daripada UKSB untuk dirinya sebagai menteri dalam negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti di China dan sistem VLN serta mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.
Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.
Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika disabitkan.
Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk juga mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan alternatif yang dirangka mengikut Seksyen 65 Kanun Keseksaan, di mana dia didakwa atas kapasitinya sebagai menteri dalam negeri atas tuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta berhubung sistem VLN antara 2014 dan 2017.
Bagi tujuh pertuduhan lain, dia didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1,150,000, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc (RM70,941), dan AS$15,000 (RM68,542) daripada syarikat yang sama, yang didakwa diketahuinya mempunyai kaitan dengan tugasnya sebagai menteri dalam negeri ketika itu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Country Heights, Kajang antara Jun 2015 dan Oktober 2017.
-BTS Media