Oleh Zainal AS Rashid
SEBUAH restoran di Singapura telah menggandakan surcaj kontroversinya untuk tetamu yang membawa kanak-kanak suka “menjerit” atau “tidak terkawal”.
Angie’s Oyster Bar & Grill, yang terletak di Outram Road, mencetuskan kontroversi apabila pelanggan berkongsi butiran surcaj restoran itu dengan saluran media Mothership.
Selepas membuat tempahan dan meminta kerusi bayi, pelanggan diberitahu melalui pesanan ringkas bahawa hanya ruang untuk kereta bayi disediakan kerana ia bukan tempat yang mesra kanak-kanak.
Sambil menyatakan ia mengalu-alukan kehadiran kanak-kanak, restoran itu seterusnya berkata surcaj S$10 (RM32) akan dikenakan jika kanak-kanak didapati mengganggu pengunjung lain, lapor Mothership semalam (20 Sept).
Dasar tersebut bukan sesuatu yang baharu, kerana sebelum ini komen negatif terhadap restoran itu turut dimuat naik ke platform pelancongan TripAdvisor pada Ogos lalu.
Pihak yang memuat naik komen tersebut berkata dia berasa tersinggung selepas diberitahu bahawa kanak-kanak yang mengganggu ketenteraman “tidak akan diterima”.
Susulan itu, pihak pengurusan Angie’s Oyster Bar & Grill pada Isnin (19 Sept) memberikan jawapan bahawa restoran itu juga telah menerima banyak aduan mengenai “kanak-kanak berlari dalam premis tanpa pengawasan atau mengganggu pelanggan di meja lain”.
Menurut pihak pengurusan lagi, ini bukan sahaja boleh mendatangkan bahaya kepada petugas restoran yang membawa makanan panas dan peralatan tajam, selain tidak menghormati pengunjung lain yang mungkin ingin makan dalam suasana tenang dan selesa.
“Dalam keadaan ini, kakitangan kami akan sentiasa cuba menasihati ibu bapa atau penjaga supaya menguruskan keadaan (anak-anak mereka).
“Bagaimanapun, ada kalanya berlaku keadaan di mana tiada apa yang dilakukan dan perkara itu diabaikan sama sekali,” kata restoran itu dalam jawapannya.
Restoran tersebut berkata bahawa mereka tidak mempunyai pilihan selain mengenakan “penalti” bagi menangani keadaan “janggal” itu, dan seterusnya terpaksa bertindak demi ketenteraman pelanggan lain.
“Kami tidak meminta banyak pun, sekadar mohon dihormati pelanggan lain. Namun begitu, masih terdapat segelintir pelanggan yang berasa bahawa mereka lebih berhak daripada yang lain.
Reaksi menyokong turut dinaikkan ke Facebook, di mana ramai yang menyokong restoran tersebut. Ada yang turut meminta supaya dasar tersebut dikenakan terhadap pelanggan remaja yang terlalu bising, termasuk orang dewasa.
-BTS Media