Oleh Zainal AS Rashid
Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau tidak pernah berjumpa mana-mana ahli politik dan memaklumkan kononnya beliau memperoleh majoriti untuk kembali sebagai perdana menteri.
Kenyataan itu menyusul selepas presiden parti Warisan, Shafie Apdal mendakwa dua bulan lepas bahawa Muhyiddin pernah menghubungi beliau dan mendakwa mendapat sokongan 119 ahli Parlimen.
Sebanyak 111 Ahli Parlimen daripada 220 kerusi diperlukan untuk majoriti.
Berita Harian memetik Muhyiddin menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak benar.
Bagaimana pun, beliau mengesahkan bertemu dengan pemimpin parti bukan BN, tetapi untuk membincangkan pendekatan melawan BN secara langsung pada pilihan raya umum ke-15.
“Perkara ini dibincangkan secara tidak rasmi apabila terdapat beberapa ahli politik dari parti pembangkang yang menemui saya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Rata-rata berpendapat cara terbaik untuk menghadapi PRU-15 ialah dengan mengusahakan formula satu lawan satu menentang BN,” katanya.
Menurut Muhyiddin kemenangan BN pada pilihan raya negeri Melaka dan Johor adalah kerana undi berpecah.
“Susulan itu, saya mengambil inisiatif untuk berhubung dengan pimpinan parti selain BN bagi berkongsi pandangan mengenai formula satu lawan satu dan inisiatif ini saya ambil selepas mendapat persetujuan Biro Politik Bersatu dan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.
“Saya tidak bertindak secara bersendirian tetapi mendapat mandat daripada parti,” katanya.
Menurutnya persefahaman diperlukan pada PRU ke-15 bagi menghalang kembalinya kleptokrat.
“Saya percaya majoriti rakyat menolak kleptokrasi dan suatu usaha mesti dilakukan untuk menghalang BN daripada kembali berkuasa sepenuhnya di negara ini.
“Dalam siri perbincangan saya dengan pimpinan parti politik selain BN, saya mengambil maklum mengenai pendirian setiap parti berhubung cadangan ini.
“Saya akur masing-masing mempunyai pandangan tertentu mengenai beberapa perkara yang berkaitan dengan cadangan ini,” katanya.
Beliau berkata Bersatu sentiasa terbuka kepada mana-mana parti bukan BN untuk merangka strategi terbaik bagi menghadapi PRU ke-15.
-BTS Media