Oleh Zainal AS Rashid
BEKAS presiden Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim kesal melihat keadaan Rumah P. Ramlee yang daif dan tidak terjaga.
“Kasihan. Kelmarin saya dan rakan2 ke Rumah P. Ramlee, di Jalan P. Ramlee Pulau Pinang selepas berseminar Rukun Negara dan Perlembagaan olahan Persatuan PEMENANG.
“Betul2 terkejut bila mendapati atap dan siling rumah asal Seniman Agung kita itu hampir roboh lantaran kebocoran yg berlarutan.
“Saya ambil peluang ini mohon agar Jabatan yg bertauliah baikilah cepat keterbiaran ini. Keadaannya amat menyedihkan. Apatah lagi ini rumah P. Ramlee seniman idola kita.”
Menurut Rais dalam catatan Facebook, penjaga rumah warisan itu memberitahunya bahawa laporan telah dibuat tahun lalu.
“Tentu sekali roh Ramlee akan menangis melihat rumah pusakanya dalam keadaan begitu terbiar. Saya taksir kerosakan ketirisan ini tak lebih RM15,000.
“Wahai ketua jabatan…mailah tengok. Baikilah cepat,” katanya.
- Ramlee, yang meninggal dunia pada usia 44 tahun, adalah penyanyi, pengarah, pelakon, komposer, penulis lagu, dan penerbit terkenal Malaysia.
Disebabkan sumbangannya kepada kedua-dua industri muzik dan filem, bersama dengan karya sasteranya yang luar biasa, P. Ramlee dianggap sebagai ikon hiburan Melayu bertaraf dunia.
Rumah P. Ramlee di George Town itu adalah kediaman asalnya semasa di Pulau Pinang hari ini merupakan muzium yang meraikan kerjaya beliau.
-BTS Media