Oleh Zainal AS Rashid
Seorang “Datuk Seri” di Tropicana Indah yang tidak mengendahkan notis arahan berhenti kerja oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), diberikan tempoh sehingga 13 Julai untuk mengembalikan semula kawasan di luar rumahnya kepada keadaan asal.
Menurut jurucakap MBPJ pemilik rumah tersebut telah merayu kepada majlis bandaraya supaya dilanjutkan tarikh akhir dua minggu lalu, lapor The Star.
MBPJ turut mengarahkan pemilik rumah mengeluarkan surat aku janji rasmi akan memindahkan tangki air dan kompresor pendingin udara yang diletakkan di atas longkang awam menjelang 13 Julai.
Pada 20 Mei lalu, akhbar The Star melaporkan bahawa seorang pemilik rumah di kawasan kediaman mewah itu telah melanggar peraturan majlis bandar raya dan tidak mengendahkan tiga notis arahan berhenti kerja yang dikeluarkan oleh MBPJ pada 8, 10 dan 11 Mei.
Susulan itu, anggota penguat kuasa MBPJ memeriksa lokasi tersebut sebanyak tiga kali.
Pemilik rumah didapati melakukan sambungan pada jalan awam tanpa kebenaran, selain menebang pokok milik majlis bandaran dan menanam pokok palma dan pokok renek di bahu jalan serta meletakkan tangki air dan kompresor pendingin udara di atas longkang awam.
Arahan henti kerja dan notis terbaharu untuk mengembalikan semula tempat itu kepada keadaan asal luput pada 24 Mei.
Ahli Majlis dan peguam MBPJ Derek Fernandez berkata, pemilik rumah tidak akan diberi peluang lagi selepas ini.
Beliau berkata, sekiranya pemilik rumah tidak mengeluarkan surat aku janji dan terus mengabaikan undang-undang, pihak MBPJ akan mengambil tindakan segera.
Menurut Fernandez, dalam isu terdapat dua komponen, iaitu barang diletakkan di luar tembok sempadan, dan barang yang dipasang pada tembok.
Tindakan pemilik rumah itu menimbulkan kemarahan jiran. Mereka berkata bahu jalan berhampiran telah dijadikan tempat letak kereta dan mendatangkan bahaya kepada penduduk apabila kenderaan yang diletakkan di situ menghalang sebahagian daripada jalan utama.
Seorang penduduk berkata aduan oleh jawatankuasa pengurusan penduduk Tropicana Indah juga telah dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) pada 16 Jun.
-BTS Media