KUALA LUMPUR: Kucing tular dinamakan Oyen yang turut menjadi mangsa nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu dilaporkan sudah ‘tiada’.
Perkhabaran sedih itu dimaklumkan pemilik Klinik Veterinar Zul Erwan, Dr Zul Erwan Azmi yang merawat Oyen pada laman sosial Instagram miliknya malam ini.
“Dukacita dimaklumkan, Oyen Elmina telah pun pergi untuk selamanya hari ini.
“Oyen yang didapati positif untuk virus FIV (Aids kucing) membuatkan sistem imun badan Oyen terganggu,” tulisnya.
Dr Zul Erwan berkata, komplikasi luka yang berada di tulang belakang Oyen menyebabkan jangkitan kuman lebih cepat merebak.
Katanya, keadaan Oyen semakin lemah dan tidak dapat bertahan meskipun rawatan terbaik sudah diberikan.
Dr Zul Erwan turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan Oyen.
Media sebelum ini menyiarkan kisah Oyen yang ditemui cedera berhampiran lokasi nahas pesawat terhempas yang mengorbankan 10 nyawa.
Petugas Kementerian Kesihatan (KKM) kemudian memberikan rawatan awal sebelum membawa kucing itu ke klinik veterinar untuk rawatan lanjut.
Baca lagi: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/08/1145614/oyen-elmina-dah-tiada