ATAS: (KIRI) Black box yang hangus/(KANAN) ‘Memory Puck’
KOTAK perakam suara kokpit (CVR) pesawat Beechcraft 390 Premier 1 yang terhempas di Perumahan Elmina 8 Central Park Seksyen U16 Khamis lalu, hangus terbakar.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, komponen tersebut telah dihantar ke makmal Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan Singapura pada Ahad untuk dianalisis bagi mendapatkan rakaman 30 minit terakhir sebelum terhempas.
“Pakar mereka datang ke Malaysia pada Jumaat lalu untuk menawarkan bantuan dan keesokannya CRV telah berjaya dibuka serta mengeluarkan komponen ‘memory puck’,” katanya kepada pemberita Majlis Semarak Merdeka di kementerian itu pada Isnin.
Menurutnya, Ketua Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Brigedier Jeneral Tan Chee Kee turut berada di sana bagi tujuan tersebut.
“BSKU menghadapi kesukaran untuk mendapatkan rakaman tersebut kerana CVR yang mengandungi “memory puck” berada dalam keadaan tidak sempurna,” ujar beliau.
Anthony berkata, pihaknya tidak dapat memastikan tempoh yang diperlukan untuk mendapatkan data tersebut.
Ia berikutan beberapa masalah teknikal yang sedang diatasi oleh pakar.
Anthony berkata, satu laporan awal siasatan akan dikeluarkan dalam tempoh tidak melebihi sebulan.
“Ia akan dibantu oleh beberapa pihak termasuk Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara Amerika Syarikat (NTSB) kerana pendaftaran pesawat berkenaan dilakukan di AS.
“Jadi mengikut Annex 13 – Aircraft Accident and Incident Investigation, International Civil Aviation Organisation (ICAO Annex 13), pengeluar pesawat itu perlu terbabit dalam membantu siasatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap agar semua pihak memberi sedikit masa kepada pakar-pakar berkenaan untuk mendapatkan data tersebut.
“Pakar-pakar kita juga sedang melihat beberapa pilihan lain untuk mendapatkannya,” tambah Anthony.
Pada Khamis, pesawat persendirian yang dalam perjalanan dari Langkawi ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah terhempas selepas mendapat kebenaran untuk mendarat jam 2.48 petang.
Nahas pesawat malang itu telah mengorbankan 10 nyawa termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.