SEEKOR kucing ‘dilantik’ sebagai penjawat awam (PNS) di Pejabat Perkhidmatan Cukai atau KPP Pratama Serpong di Tangerang Selatan, Indonesia.
Berdasarkan tweet menerusi akaun rasmi Direktorat Jenderal (Ditjen) Percukaian Kementerian Kewangan, haiwan digelar Soleh itu turut diberikan ‘kad pekerja’.
Difahamkan, kucing berbulu putih dan hitam itu ditemui di KPP Pratama Serpong ketika ia masih kecil.
Kedatangannya turut disambut baik oleh pegawai di premis itu sehinggalah ia turut dianggap sebagai ‘kakitangan’ di pejabat berkenaan.
“Soleh kini sudah menjadi staf kami,” ujar admin akaun Twitter tersebut.
Antara ‘tugas’ diberikan kepada Soleh adalah menggembirakan dan menceriakan kakitangan serta pembayar cukai yang hadir di KPP Pratama Serpong.
“Soleh sering dilihat melakukan ‘tugasnya’ di sekitar rakan sekerjanya lain. Seluruh ruang @pajakserpong adalah tempat kerja Soleh yang dilantik sebagai ‘pelatih ahli meow’,” jelas tweet itu lagi secara berseloroh.