BTS Media

Saya bukan lari, kata peguam yang dikehendaki SPRM

Oleh Fetty Rara

PEGUAM Mansoor Saat berkata beliau bukan melarikan diri walaupun dikehendaki Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengarah dan pemegang saham syarikat NERS Sdn Bhd itu berkata beliau meninggalkan negara ini secara sah dan menolak naratif bahawa ia adalah tanda bersalah.

Mansoor berkata beliau bukan sedang melarikan diri, dan pegawai penyiasat SPRM telah berusaha untuk melemparkan fitnah terhadap integritinya walaupun mengetahui perkara sebenar, lapor The Star.

Peguam itu berkata beliau meninggalkan negara secara sah, tetapi perkara itu sebaliknya digunakan bagi menggambarkan kononnya beliau melarikan diri.

“Saya menolak naratif palsu ini,” katanya.

“Siaran akhbar itu telah menggambarkan saya dalam keadaan yang paling teruk: bahawa saya melarikan diri untuk mengelakkan pendakwaan,” tambah Mansoor dalam satu kenyataan pada Khamis (17 Ogos).

Pada 8 Ogos lalu, SPRM berkata mereka sedang mencari menantu bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seorang lagi individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah dan penyelewengan projek berkaitan pendaftaran dan penyimpanan data biometrik pekerja asing.

SPRM berkata mereka sedang mencari Muhammad Adlan Berhan, 48, dan peguam Mansoor Saat, 69, untuk membantu siasatan. Mansoor menjelaskan bahawa beliau telah dipanggil oleh SPRM pada Mac tahun ini, sambil menambah bahawa bantuannya diperlukan untuk siasatan.

“Pegawai tersebut tidak memberitahu saya bila saya akan didakwa di mahkamah. Saya berpendirian bahawa tidak ada kesalahan yang dilakukan kerana transaksi dibuat secara sah dan saya tidak mendapat manfaat secara peribadi,” kata Mansoor.

-BTS Media

Leave a Comment