BTS Media

Peguam menantu Muhyiddin nafi anak guam lari dari SPRM seperti didakwa

Oleh Yusoff A. Shariff

MENANTU Tan Sri Muhyiddin Yassin Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan menafikan beliau meninggalkan Malaysia untuk melarikan diri daripada disoal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau didakwa terbabit dalam penyelewengan berkaitan kontrak pengambilan pekerja asing.

Peguam Datuk Baljit Singh Sidhu yang mewakili Muhammad Adlan mengeluarkan kenyataan membantah sekeras-kerasnya komen SPRM pada 7 Ogos yang menggambarkan anak guamnya melarikan diri dari negara ini.

Tambahnya, Muhammad Adlan akan kembali ke Malaysia selagi dia tidak dianiaya.

“Anak guam kami secara mutlak menyatakan bahawa dia tidak bersalah dan berhak untuk tidak dibicarakan di mahkamah pendapat umum oleh mana-mana agensi penguatkuasaan.

Menurut Baljit dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, anak guamnya itu  bersedia untuk membantu dalam sebarang siasatan dan mempunyai kepercayaan penuh terhadap proses kehakiman, tetapi pada masa yang sama akan berjuang tegas melindungi sebarang penafian terhadap hak dan kebebasannya.

“Anak guam kami menyatakan bahawa beliau pasti akan kembali ke Malaysia secepat mungkin untuk menjawab semua soalan dan membantu SPRM dengan sebarang siasatan selagi unsur-unsur ugutan dan penganiayaan dihapuskan,” katanya lagi.

-BTS Media

Leave a Comment