PRESIDEN BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendakwa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, suruhanjaya itu perlu menyiasat kedua-dua pimpinan tertinggi negara itu dan bukannya membuat pendakwaan terpilih terhadapnya dan BERSATU.
“Saya cabar SPRM dakwa Anwar dan Zahid Hamidi. Pendakwaan terhadap saya begitu cepat bertujuan untuk melumpuhkan BERSATU dan PN sebelum PRN sebab mereka takut.
“Ini adalah pemangsaan politik secara terpilih yang dilakukan secara rakus. Bukan sahaja akuan dibekukan, vendor dan pembekal bahan terhadap BERSATU juga disiasat, bukan sahaja pemimpin. Apa tujuan mereka disiasat?” soalnya ketika berucap dalam Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung BERSATU di Menara PGRM, di sini pada Ahad.
Tambah Muhyiddin, beliau melihat pendakwaan yang dilakukan terhadap pemimpin BERSATU sebagai usaha menakutkan orang ketiga.
Katanya, ia bagi memastikan agar tiada lagi pihak yang akan membekalkan barangan dan memberi sumbangan kepada BERSATU kerana takut akan jadi mangsa pendakwaan terpilih.
“Apa akan jadi? Lumpuhlah BERSATU. Lumpuh BERSATU, lumpuhlah PN. Mereka juga berikan gambaran buruk terhadap BERSATU dan PN. Awal-awal lagi kata kononnya kita dapat dana daripada hasil judi.
“Saya nak tegaskan, kebanyakan dana yang kita terima adalah sumbangan ikhlas yang tidak memerlukan balasan, seperti Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary. Saya sebut nama dia sebab ada dalam pertuduhan saya.
“Saya adalah rakan baik dengan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary hampir 40 tahun. Kita tahu dia seorang hartawan, dermawan dan banyak melakukan kebajikan. Saya tak fikir sumbangan yang diberikan kepada BERSATU hasil daripada wang judi,” ujarnya.