Oleh Yusoff A. Shariff
PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau tidak menolak kemungkinan akan ada kerjasama antara presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan pelbagai pertuduhan di mahkamah dan Presiden PKR Anwar Ibrahim selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jika parti itu tidak memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan.
Bercakap di Kuala Berang, Terengganu, Muhyiddin berkata kerjasama antara mereka memudaratkan orang Melayu, kerana Anwar akan membawa bersama parti Pakatan Harapan (PH) lain, termasuk DAP ke dalam kerajaan, lapor Astro Awani.
Beliau bertanya sama ada penyokong UMNO boleh menerima keadaan itu, dan jika tidak maka mereka perlu menyokong PN bagi elak musibah berlaku.
Sebelum ini, Ketua Penerangan PN Mohamed Azmin Ali mendakwa pemimpin utama DAP Lim Guan Eng, yang merupakan menteri kewangan ketika semasa kerajaan PH telah menyekat peruntukan program ekonomi Melayu di bawah Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).
Beliau mendakwa Lim juga memotong peruntukan projek membaiki jalan FELDA hingga isu itu mencetuskan perbalahan dalam kerajaan pentadbiran PH itu.
-BTS Media