Oleh Yusoff A. Shariff
KETUA Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin berharap bekas perdana menteri ke-8 Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak ditahan semalaman di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau berkata ia terpulang kepada SPRM dan bergantung kepada keadaan.
“Kami berdoa agar beliau tidak berada di sini sehingga pagi esok.
“Kami harap beliau akan dibebaskan segera, mungkin petang ini,” katanya kepada media di luar ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada Khamis (9 Mac).
Hamzah berkata beliau percaya Muhyiddin hanya disoal dalam apa yang dilihat sebagai satu penganiayaan politik.
Menurut beliau, ini kerana presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional itu tidak melakukan sebarang kesalahan.
“Berdasarkan perbincangan sebelum ini, beliau memberitahu kami apa yang berlaku, dan kami amat yakin bahawa beliau tidak salah,” katanya.
-BTS Media