PRESIDEN Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dipanggil ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada pukul 11.00 pagi esok.
Muhyiddin yang juga bekas perdana menteri ke-8 mengesahkan perkara itu melalui kenyataan di Facebook, susulan khabar angin bahawa beliau akan dihadapkan dengan pertuduhan di mahkamah.
Beliau juga menegaskan laporan bahawa beliau telah ditahan ketika bermain golf hari ini adalah tidak benar.
“Hari ini saya hadir ke beberapa mesyuarat berkaitan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu yang akan bermula Jumaat ini.
“Bagaimanapun esok Khamis saya diminta ke ibu pejabat SPRM pada pukul 11.00 pagi,” katanya.
Sementara itu, ahli jawatankuasa Pemuda Bersatu Harris Idaham Abdul Rashid berkata penyokong parti akan berkumpul bagi menunjukkan sokongan kepada presiden mereka, esok, lapor Malaysiakini.
“Kami baru saja dapat maklumat bahawa presiden kami akan dipanggil ke pejabat SPRM esok untuk soal siasat.
“Kami jangka akan ada pendakwaan pada esok petang atau keesokannya (Jumaat). Jadi kami bersiap sedia untuk tunjukkan solidariti,” katanya.
Sejak pertengahan bulan lepas, beberapa pemimpin Bersatu telah dihadapkan ke mahkamah.
Pada 21 Februari, ketua penerangan Bersatu ketika itu Wan Saiful Wan Jan dihadapkan dengan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta pada 2022.
Beberapa pertuduhan juga dikenakan terhadap timbalan ketua Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad.
SPRM berkata kesemua pertuduhan itu berkaitan skim Jana Wibawa, yang merupakan inisiatif untuk mempercepat penyampaian projek bagi merangsang pemulihan ekonomi selepas Covid-19.
Turut didakwa Teo Wee Cheng, yang menjalankan perniagaan di kawasan Pagoh, kebetulan kubu kuat Muhyiddin.
-BTS Media