SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dituduh Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu akan dituduh di bawah AMLATFPUAA di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Isnin ini.
Menurut beliau, pertuduhan di bawah AMLATFPUAA terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu susulan siasatan membabitkan projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) oleh SPRM, lapor Sinar Harian.
“Muhyiddin akan dituduh di bawah AMLATFPUAA di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Isnin ini,” katanya hari ini (Sabtu 11 Mac).
Beliau berkata, mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA 2001, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.
Pada sidang akhbar Muhyiddin selepas dibebaskan oleh SPRM pada Khamis, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata beliau akan dikenakan tujuh pertuduhan di mahkamah.
Enam pertuduhan ke atas bekas Perdana Menteri itu telah dilakukan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat, manakala satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Isnin ini.
Pada Jumaat, Muhyiddin didakwa menggunakan kedudukan bagi mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua lagi pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.