Oleh Zainal AS Rashid
TAN Sri Muhyiddin Yassin dijangka dibebaskan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis (9 Mac), kata Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Beliau berkata, selepas dibebaskan beliau akan menyertai penyokong untuk solat hajat.
“Saya tidak pasti pukul berapa tetapi nanti,” kata Ketua Bersatu Pahang yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota itu di luar ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
SPRM sedang menyiasat dakwaan kononnya kontraktor telah memasukkan RM300 juta ke dalam akaun parti Bersatu sebagai balasan untuk mendapatkan projek.
Muhyiddin menafikan perkara ini dengan menyifatkan ia fitnah politik yang bertujuan untuk mencemarkan nama baiknya sebagai perdana menteri kelapan.
Pada 18 Feb, Muhyiddin berkata SPRM mengesahkan beliau bukan suspek dalam siasatan yang sedang dijalankan apabila dipanggil untuk memberikan keterangan, lapor The Star.
SPRM telah pun mendakwa ketua penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan dan timbalan ketua bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad atas pertuduhan rasuah yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa.
Program Jana Wibawa ditubuhkan pada November 2020 di bawah pentadbiran Muhyiddin untuk membantu kontraktor bumiputera yang terkesan dan bergelut semasa pandemik Covid-19.
Di bawah skim ini, kontraktor Bumiputra yang dinilai bertaraf tiga hingga lima bintang diberi kontrak melalui rundingan langsung jika diluluskan oleh Kementerian Kewangan.
Bendahari Bersatu Datuk Mohd Salleh Bajuri juga ditangkap oleh SPRM untuk membantu penyiasatan berhubung perbelanjaan dana parti.
Salleh ditahan minggu lalu dan direman sehingga 3 Mac selepas dia diarah ke ibu pejabat SPRM pada 1 Mac untuk memberi kenyataan mengenai pembayaran Bersatu kepada pembekal dan vendor.
SPRM sebelum ini telah membekukan beberapa akaun milik Bersatu pada Januari.
-BTS Media