BEBERAPA portal media hari ini mula memainkan berita mengenai spekulasi seorang pemimpin tertinggi sebuah parti politik mungkin ditahan dan didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat.
FMT melaporkan pihaknya difahamkan pertuduhan akan dikenakan terhadap pemimpin parti itu yang dikatakan sebagai ‘VVIP’, adalah berkaitan siasatan berterusan SPRM terhadap dakwaan penyalahgunaan dana kerajaan.
Bagaimanapun, FMT tidak dapat mendedahkan identiti pemimpin parti politik itu sementara menunggu pengesahan.
Cakap-cakap pemimpin itu akan ditangkap sudah berlegar sejak minggu lalu, dan semalam tersebar dakwaan di media sosial bahawa rumah pemimpin berkenaan dan anaknya diserbu.
Bagaimanapun ketika berita ini diterbitkan, FMT belum dapat mengesahkan dakwaan itu.
Sebuah portal lain pula terus menamakan pemimpin berkenaan dan menyebut individu berkenaan mungkin dihadapkan ke mahkamah esok.
Dakwaan terhadap pemimpin tertinggi berkenaan dipercayai dibuat susulan beberapa pemimpin parti itu yang sudah dituduh di mahkamah berkaitan dakwaan penyelewengan daripada program pembangunan kontraktor pembinaan.