BTS Media

Pemimpin kanan parti politik, pengarah syarikat ditahan

KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin kanan sebuah parti politik dan seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat ditahan berhubung kes projek Jana Wibawa.

Kedua-dua mereka ditahan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, semalam sebelum dijangka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, pagi ini untuk proses pendakwaan.

Difahamkan, pemimpin kanan parti politik berkenaan yang juga seorang Ahli Parlimen dipanggil untuk memberi keterangan di pejabat SPRM sebelum itu.

Seorang lagi CEO yang bakal didakwa pernah ditahan reman sebelum ini berkaitan siasatan projek Jana Wibawa.

SPRM setakat ini masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung penahanan itu.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Kementerian Kewangan (MoF) mengarahkan pelaksanaan projek Jana Wibawa ditangguhkan untuk meneliti semula sama ada tatacara perolehannya mengikut peraturan ditetapkan oleh perbendaharaan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dipetik berkata, penangguhan projek bernilai RM5.7 bilion itu dibuat kerana terdapat unsur kaedah perolehan secara tender terpilih atau runding terus.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan beliau sudah memberi keterangan kepada SPRM mengenai projek Jana Wibawa.

Bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, mengesahkan sudah dihubungi SPRM untuk membantu siasatan yang dijalankan agensi itu.

Muhyiddin dilaporkan berkata, keterangan diberi adalah berkait penganugerahan kepada kontraktor dipilih bawah projek berkenaan, yang didakwa pihak tertentu bahawa berkemungkinan wujud tatacara perolehan tidak mengikut peraturan ditetapkan.

Untuk rekod, Jana Wibawa diperkenalkan kerajaan bawah pentadbiran Muhyiddin bagi mempercepat pelaksanaan projek bertujuan merancakkan ekonomi negara ketika serta pasca pandemik COVID-19, selain meningkatkan kapasiti kontraktor Bumiputera dalam industri pembinaan supaya lebih berdaya saing, berdaya tahan dan berpotensi.

Sebelum ini, kerajaan dilapor memudahkan kaedah pelaksanaan projek Jana Wibawa secara tender prakelayakan atau rundingan terus supaya impak pelaksanaan segera dapat dirasai oleh ekonomi dan rakyat.

Bekas Perdana Menteri itu menjelaskan, SPRM memaklumkan beliau dipanggil memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan dan bukan suspek yang dikaitkan untuk sebarang tindakan pendakwaan.

Baca lagi: https://www.bharian.com.my/berita/kes/2023/02/1066966/projek-jana-wibawa-pemimpin-kanan-parti-politik-pengarah-syarikat-ditahan

Leave a Comment