PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki hari ini mengesahkan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan didakwa di mahkamah esok.
Kenyataan itu mengesahkan Ahli Parlimen Pagoh yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang sedang diambil keterangan oleh SPRM Putrajaya tidak dihadapkan ke mahkamah hari ini.
“Esok beliau dijangka akan didakwa. Bukan hari ini,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.
SPRM dijangka akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat ini.
Muhyiddin dilihat tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, pada jam 11.18 pagi, bagi memberi keterangan dipercayai berkaitan kes salah guna dana kerajaan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).
Sementara itu, Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Muhyiddin Yassin sebelum ini menyatakan dirinya tidak bersalah atas tuduhan penyelewengan Jana Wibawa.
“Berdasarkan perbincangan sebelum ini, beliau menyatakan keyakinan tidak bersalah,” katanya kepada pemberita selepas Muhyiddin masuk ke bangunan Ibu Pejabat SPRM, hari ini.
Pada 18 Februari lalu, Muhyiddin mengesahkan beliau dipanggil SPRM untuk memberi keterangan mengenai Jana Wibawa sebagai saksi dan bukannya suspek.
Bagaimanapun, sehari kemudian SPRM mengesahkan bekas Perdana Menteri itu antara suspek yang disiasat berhubung kes berkenaan dan siasatan ke atasnya masih diteruskan.
Pada 20 Februari, SPRM memaklumkan seorang pemimpin kanan sebuah parti politik berstatus Ahli Parlimen dan seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat, ditahan berhubung kes Jana Wibawa.
Sehari kemudian, Wan Saiful didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu. Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah.
Pada hari sama, Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, dihadapkan di mahkamah sama atas dua pertuduhan termasuk menerima rasuah RM500,000 membabitkan projek Jana Wibawa.
Dia sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 22 Februari atas kesalahan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berkaitan projek sama, disusuli pendakwaan kali ketiga pada 28 Februari berhubung projek Jana Wibawa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas pertuduhan meminta rasuah RM2 juta.
Pada 22 Februari juga, seorang pengarah syarikat perabot di Pagoh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas sembilan pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung program Jana Wibawa bernilai RM12.875 juta, sejak dua tahun lalu.
Jana Wibawa dilaksanakan ketika pandemik COVID-19, dan ia kesinambungan kepada Program Pembangunan Kontraktor Binaan Bumiputera Berwibawa yang dimulakan pada tahun 1993.
Pelaksanaannya diluluskan Jemaah Menteri pada 13 November 2020 ketika kerajaan ditadbir PN diterajui Muhyiddin.
KRONOLOGI ISU PROJEK JANA WIBAWA :
13 November 2020 : Diluluskan oleh Jemaah Menteri.
31 Februari 2023 : BERSATU berkongsi penyata akaunnya sebalik dakwaan mengaitkan parti itu menerima RM4 bilion daripada RM92.5 bilion dana Pakej Rangsangan Ekonomi.
1 Februari 2023 : Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sahkan pihaknya membekukan beberapa akaun milik BERSATU.
2 Februari 2023 : Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yasin maklumkan partinya menghantar surat kepada SPRM meminta pembatalan pembekuan akuan BERSATU.
15 Februari 2023 : Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi maklum Kementerian Kewangan (MOF) sudah mengarahkan projek Jana Wibawa ditangguh.
16 Februari 2023 : Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) hadir beri keterangan kepada SPRM.
19 Februari 2023 : SPRM sahkan Muhyiddin antara suspek yang disiasat bagi projek Jana Wibawa.
20 Februari 2023 : Bekas Menteri MOF, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, beri keterangan kepada SPRM.
20 Februari 2023 : Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat, Adam Radlan Adam Muhammad ditahan SPRM.
21 Februari 2023 : Wan Saiful dan Adam Radlan masing-masing didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta dan RM500,000 berkaitan Jana Wibawa.
22 Februari 2023 : Adam Radlan sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berkaitan Jana Wibawa.
22 Februari 2023 : Seorang pengarah syarikat perabot di Pagoh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas sembilan pertuduhan meminta dan menerima rasuah bernilai RM12.875 juta.
24 Februari 2023 : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim maklumkan projek Jana Wibawa berjumlah RM7 bilion yang dibuat secara rundingan terus dibatalkan.
28 Februari 2023 : Adam Radlan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen sekali lagi atas pertuduhan meminta rasuah RM2 juta berhubung projek Jana Wibawa.
9 Mac 2023 : Muhyiddin sekali lagi hadir ke ibu pejabat SPRM bagi memberi keterangan berkenaan projek Jana Wibawa.
Baca lagi: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/03/1074491/sprm-sahkan-muhyiddin-akan-didakwa-esok