BTS Media

Taufan Super Doksuri: Filipina arah penduduk pindah, China keluar amaran Tahap Tiga

MANILA: Agensi cuaca Filipina mengeluarkan arahan berpindah bagi komuniti pesisir pantai berikutan Taufan Super Doksuri yang bakal melanda utara negara itu.

Ketika ini, taufan yang membawa angin berkelajuan maksimum 185 kilometer sejam (km/j) itu sedang menuju ke arah tiga pulau terletak di hujung utara pulau utama Luzon.

Ribut yang digelar ‘Egay’ di Filipina, dijangka mendarat atau melepasi pulau Babuyan atau wilayah timur laut Cagayan menjelang petang esok, kata agensi itu dalam buletin terbarunya pada jam 8 pagi waktu tempatan.

Ia kemudian akan bergerak ke Taiwan dan timur China. Ribut berkenaan dijangka menurunkan lebih 200 milimeter (mm) hujan di kepulauan itu dan bahagian utara wilayah Cagayan, Apayao dan Ilocos Norte.

Tiga daripada lima pulau Babuyan mempunyai populasi kira-kira 20,000 penduduk.

Pegawai bencana tempatan, Charles Castillejos, berkata masyarakat pesisir pantai diarah meninggalkan rumah, manakala nelayan diminta mengeluarkan bot dari air.

“Kami menghantar anggota polis untuk meyakinkan mereka yang keras kepala dan enggan berpindah,” katanya.

Filipina secara purata dilanda 20 ribut besar setiap tahun yang mengorbankan ratusan orang.

Di Fuzhou, China, wilayah Fujian meningkatkan tahap respons kecemasan taufan kepada Tahap Tiga ketika Taufan Super Doksuri semakin menghampiri, lapor Xinhua.

Menurut pemantauan pusat meteorologi, taufan itu terbentuk di perairan timur Filipina pada Jumaat dan berkembang menjadi taufan kuat.

Jabatan Meteorologi meramalkan Doksuri akan bergerak ke barat laut pada kelajuan 10 hingga 15 km/j dan dijangka mendarat antara pantai selatan dan tengah Wilayah Fujian serta pantai timur Wilayah Guangdong pada pagi Jumaat.

Sementara itu, Wilayah Guangdong diletakkan di bawah Tahap Empat. China mempunyai sistem respons kecemasan kawalan banjir empat tahap dengan Tahap Satu adalah yang paling serius.

– AFP

Leave a Comment