BTS Media

SPRM tahan pegawai kanan MBI Kedah, pengarah syarikat berkait kecurian REE

GAMBAR:NSTP

 

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai kanan Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah dan seorang pengarah wanita sebuah syarikat bagi bantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa dalam isu kecurian unsur nadir bumi (REE).

Sumber berkata siasatan kes itu membabitkan nilai rasuah lebih RM13 juta.

Suspek yang masing-masing berusia 40 dan 63 tahun itu ditahan lewat petang semalam di Alor Setar, Kedah dan di ibu negara.

“Kedua-dua suspek kini direman tiga hari bermula hari ini hingga 21 Julai ini.

“Perintah reman dikeluarkan masing-masing oleh Majistret Wan Shahida Abd Rahim di Mahkamah Majistret Alor Setar dan Majistret Norsyakirah Che Hashim di Mahkamah Majistret Shah Alam selepas permohonan reman dibuat SPRM,” katanya.

Siasatan SPRM juga membabitkan perlindungan pihak berkuasa tertentu sejak tahun 2020 dalam kegiatan perlombongan secara haram itu.

“Hasil siasatan awal dapat mengesan beberapa pembayaran disyaki membabitkan rasuah berjumlah lebih RM13 juta diberikan syarikat terbabit sebagai sogokan bagi melindungi kegiatan perlombongan haram ini dalam tempoh 2020 hingga 2023.

“Syarikat milik suspek wanita itu dipercayai mendapat kelulusan untuk menjalankan projek pembangunan ladang hutan pokok getah klon balak (TLC) di dua kompartmen di Kedah dalam tahun 2016 lagi,” kata sumber.

Menurut sumber itu lagi, projek terbabit bertujuan untuk menanam semula pokok-pokok getah klon balak di kawasan pembalakan yang terbabit.

“Pada tahun 2020, syarikat yang sama mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Negeri Kedah bagi menjalankan aktiviti perlombongan REE dalam kompartmen yang sama.

“Namun, setakat ini tiada kelulusan diberikan oleh Kerajaan Negeri berhubung permohonan syarikat terbabit bagi menjalankan aktiviti perlombongan itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan kedua-dua suspek dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17 dan 23 Akta SPRM 2009.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Baca lagi: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/07/1128662/sprm-tahan-pegawai-kanan-mbi-kedah-pengarah-syarikat-berkait

Leave a Comment