BERSATU Kedah akan membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap empat pemimpin UMNO esok selepas didakwa daripada saksi kes rasuah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mereka menerima rasuah.
Ketua Penerangan BERSATU Kedah, Khairul Anuar Ramli berkata empat pemimpin UMNO itu adalah Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.
Beliau yang juga Ketua Bahagian BERSATU Padang Serai menyeru rakyat untuk sama-sama membuat laporan SPRM terhadap bekas pengurus pentadbiran Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), David Tan Siong Sun agar pihak berkuasa itu dapat menyiasat sama ada beliau membuat kenyataan saksi itu atas sogokan mana-mana pihak atau tidak.
“Laporan kepada SPRM itu akan dibuat di Pejabat SPRM Negeri Kedah esok jam 9.30 pagi,” katanya.
Semalam, Muhyiddin menafikan menerima sogokan berjumlah RM1.3 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), antara Jun dan Ogos 2018.
Muhyiddin berkata, keterangan yang diberi oleh bekas pengurus pentadbiran syarikat itu, David, yang juga saksi dalam perbicaraan rasuah Zahid semalam, adalah palsu.
Muhyiddin menjelaskan, dakwaan bahawa beliau menerima dana tersebut antara Jun hingga Ogos 2018 juga tidak tepat berikutan pada tempoh tersebut beliau sedang mengambil cuti sakit akibat pembedahan.
“Pada masa itu, saya menjalani pembedahan kanser dan kemudian mengambil cuti selama beberapa bulan untuk rawatan lanjut. Tugasan saya sebagai Menteri Dalam Negeri telah diambil alih oleh YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu. Hal ini tersebar luas dalam media massa.
“Malahan pada tarikh tertentu yang dinyatakan oleh saksi kononnya saya telah menerima sogokkan wang tunai, saya sebenarnya sedang menjalani rawatan di sebuah hospital di luar negara.
“Adalah mustahil bagi saya menerima sebarang sogokan wang tunai daripada sesiapa dalam keadaan itu. Dakwaan tersebut ternyata tidak berasas,” katanya.