Oleh Yusoff A. Shariff
BEBERAPA pegawai Kementerian Sumber Manusia dipanggil untuk membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan bahawa tuntutan palsu telah dikemukakan dan dana diselewengkan di bawah program PenjanaKerjaya.
Menurur sumber, pegawai-pegawai tersebut dipanggil seminggu lalu sejak SPRM dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) memulakan “Ops Hire, lapor The Star.
Pegawai itu semua dipanggil untuk membantu menjelaskan beberapa perkara berhubung dasar dan prosedur.
“Ini adalah proses biasa. Jika penjelasan diperlukan, maka penyiasat akan memanggil orang yang diperlukan dan merekodkan kenyataan mereka,” tambah sumber itu.
Sumber itu menafikan laporan bahawa 40 anggota Kementerian dan Perkeso ditahan dalam serbuan ke pejabat mereka.
SPRM dan Perkeso menjalankan siasatan sejak minggu lepas dan telah menahan 40 individu bukan dari Kementerian Sumber Manusia atas dakwaan tuntutan palsu dan penyelewengan dana PenjanaKerjaya, yang dikatakan berjumlah RM100 juta.
PenjanaKerjaya diperkenalkan pada 2020 di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi Negara, sewaktu pentadbiran Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Skim tersebut menawarkan insentif kewangan antara RM600 dan RM1,000 kepada majikan bagi setiap perantis pekerja yang diambil bekerja sehingga enam bulan.
Bagaimana pun, Perkeso telah menggantung pembayaran sebanyak RM423 juta untuk program itu.
Sebelum ini, menteri Sumber Manusia M. Saravanan berkata ada kemungkinan beberapa individu daripada MIC terlibat dalam skandal berkenaan.
-BTS Media