BTS Media

Bilionair Muslim Asif Aziz dapat kebenaran jadikan mercu tanda terkenal London sebagai masjid

Oleh Zainal AS Rashid

SEORANG bilionair Islam telah diberi kebenaran untuk memajukan semula sebuah mercu tanda terkenal London menjadi masjid.

Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas Criterion Caption, Asif Aziz, 56, yang dikenali sebagai Mr West End, akan mengambil alih Trocadero di tengah ibu negara.

Akhbar British, Mail Online melaporkan bahawa beliau telah memohon untuk membina masjid dengan kapasiti 1,000 orang, tetapi rancangan itu ditarik balik kerana bantahan daripada penduduk.

Bagaimana pun, kini Majlis Westminster telah meluluskan pembinaan sebuah masjid tiga tingkat untuk sekurang-kurangnya 390 jemaah.

Ia dijangka diberi nama Picadilly Prayer Space (Ruang Solat Piccadilly) dan dibuka dalam masa beberapa bulan.

LAKARAN akitek ruang solat yang akan dibina.

“Permohonan perancangan oleh Aziz Foundation untuk menukar sebahagian daripada London Trocadero telah diluluskan oleh jawatankuasa perancangan majlis pada bulan Mei 2023,” kata laporan itu, memetik jurucakap majlis.

Trocadero, yang terletak di antara Picadilly Circus dan kawasan Soho, bermula sebagai sebuah restoran pada tahun 1896 tetapi ditutup pada 1965. Ia dibuka semula pada 1984 sebagai kawasan pameran dan hiburan, di bawah tajaan syarikat hiburan dan permainan video Jepun,  SegaWorld.

-BTS Media

Leave a Comment