SINGAPURA: Menteri Pengangkutan Singapura ditahan bagi membantu siasatan rasuah peringkat tinggi yang turut membabitkan taikun hotel rakyat Malaysia.
Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) dalam kenyataan berkata, Menteri Pengangkutan S Iswaran ditahan pada 11 Julai lalu sebelum dibebaskan dengan ikat jamin.
Taikun hotel Ong Beng Seng, antara individu terkaya Singapura, turut ditahan pada hari sama dan dibebaskan dengan ikat jamin.
Bagaimanapun biro itu tidak mendedahkan butiran siasatan kes yang mengejutkan republik berkenaan, sebuah hab kewangan global yang terkenal sebagai antara negara paling kurang rasuah di dunia.
Menteri Singapura dibayar gaji setanding golongan berpendapatan tinggi dalam sektor swasta bagi mencegah amalan rasuah.
Beng Seng ialah Pengarah Urusan Hotel Properties Limited (HPL), yang memiliki rangkaian hotel dan resort mewah di lokasi sekitar Asia dan Pasifik.
Dalam pemfailan dengan Bursa Singapura pada Jumaat, syarikat itu berkata Beng Seng diberi notis penahanan oleh CPIB dan telah membayar jaminan.
Walaupun pasport yang ditahan biasanya disita, Beng Seng diberikan kebenaran untuk meninggalkan Singapura pada Jumaat, dengan CPIB menyatakan ia menganggap permintaan untuk perjalanan ke luar negara berdasarkan kes.
CPIB berkata ia telah “menerima permintaan Beng Seng untuk ke luar negara”, tetapi meningkatkan jaminannya kepada Sg$100,000 (AS$76,000).
“Apabila dia kembali, Beng Seng dikehendaki melaporkan diri kepada CPIB dan menyerahkan pasportnya kepada biro,” kata CPIB.
Beng Seng yang juga penduduk tetap Singapura, dipuji kerana membantu membawa Grand Prix Formula Satu ke Singapura pada 2008.
Syarikat swastanya Singapore GP dan Lembaga Pelancongan Singapura tahun lalu memperbaharui kontrak untuk menjadi tuan rumah perlumbaan F1 sehingga 2028.
Iswaran, sementara itu, telah diarah bercuti awal minggu ini oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong selepas CPIB berkata menteri itu pada masa ini membantu siasatan yang sedang dijalankan.