BTS Media

Pemuda PDP mahu Ketua Pemuda UMNO mohon maaf kerana  komen ‘tidak adil’ mengenai isu di KLIA

GAMBAR ATAS: Malay Mail.

 

Oleh Zainal AS Rashid

PEMUDA Parti Demokratik Progresif (PDP) hari ini berkata adalah tidak adil bagi Ketua Pemuda UMNO Muhamad Akmal Saleh mempersoalkan tindakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Tiong King Sing tanpa mengetahui fakta penuh tentang apa yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.

Ketuanya, David Yeo Ang Lim berkata jika Akmal meneliti insiden itu, beliau pasti tahu ia adalah mengenai isu berulang salah guna kuasa yang didakwa dilakukan oleh pegawai Imigresen, lapor Malay Mail.

“Adakah dia mencadangkan agar kita menutup mata dan berpura-pura tiada apa-apa yang berlaku?” Yeo bertanya dalam kenyataan menyokong Tiong di Facebook.

Yeo menuntut Dr Akmal memohon maaf kerana membuat tuduhan terhadap Tiong, yang merupakan presiden PDP.

Dia mempersoalkan mengapa tumpuan diberikan kepada Tiong, yang telah mendedahkan salah guna kuasa, tetapi bukan mengenai masalah di KLIA yang mencemarkan imej negara sejak bertahun-tahun.

Yeo berkata, dakwaan salah guna kuasa itu telah mendedahkan kelemahan sebuah jabatan kerajaan.

Menurutnya, ini bukan kali pertama Tiong mendedahkan penyalahgunaan kuasa yang didakwa berlaku di KLIA.

“Jelas bahawa Jabatan Imigresen perlu menjawab beberapa soalan,” katanya sambil menyifatkan kejadian di mana seorang wanita warga China gagal mendapatkan perkhidmatan jurubahasa Mandarin untuk membantunya di Malaysia yang merupakan negara berbilang bahasa sebagai melucukan.

“Ke mana perginya jurubahasa yang terlatih? Dan apa pula dengan dakwaan bahawa wanita telah diminta membayar yuran tidak munasabah, atau apakah pihak jabatan telah menetapkan bahawa yuran itu tidak menyalahi undang-undang?

Yeo berkata, dia terkejut bahawa seorang tokoh politik seperti Akmal boleh membuat tuduhan tidak berasas terhadap Tiong tanpa mengetahui kisah sebenar.

“Jika dia yakin dengan kerajaan perpaduan, dia perlu menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf kepada menteri itu,” kata Yeo.

Tiong semalam menegur Akmal yang menuduh beliau menyalahgunakan kuasa dan menuntut supaya menteri itu dilucutkan kerakyatan Malaysianya berhubung insiden di KLIA baru-baru ini.

Beliau menuntut permohonan maaf daripada Akmal kerana terburu-buru menuduh kononnya Tiong telah menceroboh memasuki balai ketibaan dan mendesak pegawai Imigresen supaya membebaskan seorang pelancong asing tanpa mengetahui fakta kes terlebih dahulu.

Tiong berkata beliau diberitahu bahawa pegawai Imigresen didakwa meminta RM3,000 sebelum membebaskan pelancong asing daripada tahanan.

Menurut beliau, tambahan RM3,000 lagi diminta jika pelancong ingin pulang ke negara asal dengan segera menggunakan “lorong khas” bersama RM12,000 sebagai kos pemprosesan visa.

Dalam pada itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke telah menjelaskan bahawa semua anggota Kabinet mempunyai pas keselamatan yang membolehkan mereka memasuki kawasan larangan di KLIA.

Loke menjelaskan, isu pelanggaran protokol keselamatan tidak timbul kerana menteri dibenarkan masuk ke kawasan tersebut walaupun mereka tidak dijadualkan menaiki penerbangan.

-BTS Media

Leave a Comment