EXCO Pemuda UMNO Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin melepaskan jawatan serta merta di peringkat pusat dan bahagian Lembah Pantai kerana kecewa dengan perkembangan terbaharu dalam UMNO yang didakwa ‘tidak lagi mengamalkan demokrasi’.
Beliau berkata, surat rasmi peletakan jawatan akan diserahkan dalam tempoh terdekat.
“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada sahabat-sahabat UMNO Malaysia yang bersama saya dalam perjuangan sejak 2018 hingga kini. Kita tetap bersahabat selamanya dan menjaga ukhwah sesama kita. Selamat maju jaya buat semua sahabat,” katanya menurut Berita Harian.
Menurut laporan itu, Muqharabbin dipercayai meletakkan jawatan susulan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT), malam tadi, yang memecat keahlian Khairy Jamaluddin dan bekas ketua UMNO Selangor, Noh Omar, yang juga ahli MKT.
UMNO juga menggantung keahlian bekas naib presiden, Hishammuddin Hussein bersama Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian; Ketua UMNO Jempol, Salim Sharif dan Ketua UMNO Tebrau, Maulizan Bujang, selama enam tahun.
Selain itu, Ahli Parlimen Simpang Renggam Hasni Mohamad, digugurkan sebagai ketua UMNO Johor dan digantikan dengan Khaled Nordin.