Oleh Yusoff A. Shariff
TINDAKAN Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menempah kawasan parkir untuk rombongan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berhampiran Restoran Hameediah di Lebuh Campbell dikecam orang ramai dan pengusaha perniagaan berhampiran.
Untuk memberi ruang kepada rombongan beliau kira-kira 30 petak parkir telah dikhaskan oleh pekerja MBPP pada 10 malam Khamis (22 Jun).
Beberapa kereta yang diletakkan di situ semalaman dilapor telah dipindahkan untuk memberi ruang di sepanjang jalan di mana Nga dijadualkan makan tengah hari di restoran tersebut.
Kira-kira 15 kereta dalam rombongan itu tiba bersama-sama Nga untuk mengambil lot rizab pada petang Jumaat (23 Jun).
Mereka meninggalkan kawasan itu kira-kira sejam kemudian dan tempat letak kereta dibuka semula untuk orang ramai.
Seorang peniaga yang enggan namanya didedahkan berkata, hanya beberapa tempat letak kereta sepatutnya dikhaskan untuk VIP, bukannya hingga 30 petak.
“Mereka sepatutnya lebih bertimbang rasa terhadap rakyat.
“Mereka (VIP) mempunyai pemandu untuk menghantar mereka, (jadi) mereka harus berjalan sedikit untuk merasai apa yang sebenarnya dirasakan oleh rakyat,” katanya.
Kritikan turut dimuat naik ke media sosial, dengan antaranya mendakwa lawatan yang diPertuan Agong ke restoran tersebut sebelum ini pun tidak menyusahkan rakyat dengan penutupan begitu banyak petak parkir di situ.
Susulan kejadian itu, Nga dilapor telah memohon maaf dan mendakwa beliau tidak tahu pun mengenai perkara itu.
Lawatan Nga ke Pulau Pinang adalah untuk mengumumkan peruntukan bagi projek berkaitan perumahan.
-BTS Media