POLIS telah menahan seorang wanita berusia 32 tahun kerana didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong di media sosial.
Wanita itu ditahan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman di perkarangan ibu pejabat polis daerah Seberang Prai Utara pada 13 Jun lalu.
Ketua Polis negeri Khaw Kok Chin berkata polis menerima laporan daripada orang ramai pada 7 Jun lalu mengenai beberapa kandungan dalam media sosial yang dikatakan boleh menjejaskan ketenteraman awam, lapor NST.
“Berikutan itu, pada 13 Jun lalu, USJT Bukit Aman menahan seorang wanita berusia 32 tahun di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Utara.
“Dia ditahan kerana didakwa memuat naik kandungan menghina ke media sosial terhadap Yang di-Pertuan Agong berhubung penganugerahan pingat Tan Sri kepada Lim Kit Siang baru-baru ini.
“Barang bukti seperti komputer riba, telefon bimbit dan kad SIM telah diambil daripadanya untuk membantu siasatan,” katanya.
Khaw berkata, wanita itu dibebaskan dengan jaminan polis pada hari yang sama kerana dia hamil enam bulan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Khaw berkata kes itu telah diambil alih oleh USJT Bukit Aman.
-BTS Media