BTS Media

Polis tahan wanita dalam video cetus kemarahan kerana didakwa hina Islam

 

Oleh Fetty Rara

WANITA dalam rakaman video yang beraksi di pentas sebuah kelab di Taman Tun Dr Ismail Kuala Lumpur telah ditangkap.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Noorsiah Mohd Saaduddin berkata wanita itu direman selama tiga hari.

Dalam satu kenyataan hari ini (Ahad 10 Jul), beliau berkata wanita itu ditahan di ibu pejabat polis Brickfields.

Terdahulu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dilaporkan menjalankan siasatan awal berhubung video tular itu yang didakwa menghina agama Islam.

Pengarah JAWI Mohd Ajib Ismail berkata pihaknya menyedari tentang video tular itu dan siasatan awal dijalankan oleh bahagian penguatkuasaannya.

Di bawah Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, menghina atau menyebabkan penghinaan terhadap Islam adalah satu kesalahan dan mereka yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Video sepanjang 54 saat itu menunjukkan seorang wanita bertudung dan berbaju kurung, yang mengisytiharkan bahawa dia telah menghafal 15 juzuk Al-Quran.

Dia kemudian menanggalkan tudung dan baju kurungnya satu persatu hingga tinggal pakaian ringkas mendedahkan sebahagian tubuhnya, sebelum melaungkan salam serta kata-kata makian di depan penonton yang bertepuk tangan.

Laporan telah dibuat pada 9 Julai berhubung video yang disiarkan di TikTok dan kes itu disiasat oleh Unit Siasatan Khas Bukit Aman mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menimbulkan perpecahan dan mencetuskan kebencian dalam kalangan rakyat serta di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana menyalahgunakan kemudahan rangkaian.

-BTS Media

Leave a Comment