BTS Media

Wanita didakwa hina Islam akan bayar jamin daripada sumbangan ramai

Oleh Fetty Rara

WANITA yang didakwa menghina Islam semasa persembahan di sebuah kelab komedi dijangka membayar ikat jamin pagi esok (Isnin 18 Jul) dengan wang yang dikumpulkan melalui Sumbangan ramai (crowdfunding).

Peguamnya, R. Sivaraj, berkata banyak sumbangan telah diterima daripada orang ramai, termasuk tawaran untuk membiayai kos guaman Siti Nuramira Abdullah.

Beliau berkata setakat pagi ini (Ahad 17 Jul) kira-kira RM15,000 telah diperoleh, dan dijangka jumlah akan mencecah sebanyak RM20,000 yang disasarkan bagi membayar ikat jamin sebelum akhir hari esok, lapor FMT.

Peguam itu juga berkata bahawa pasukan guamannya turut dihubungi oleh beberapa individu dari serata dunia yang mahu menyumbang.

Menurut Sivaraj, Siti Nuramira dijangka membayar ikat jamin pagi esok (Isnin), dan seterusnya jumlah yang disumbangkan itu akan dipulangkan kepada mereka apabila kes tersebut selesai, dan wang jaminan dilepaskan oleh mahkamah.

Pada Jumaat lepas, Sivaraj mengumumkan bahawa kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL) akan membantu Siti Nuramira dan teman lelakinya, Alexander Navin Vijayachandran bagi tujuan mendapatkan dana untuk ikat jamin menggunakan akaun bank LFL.

Pada Rabu lalu, Siti Nuramira mengaku tidak bersalah bersabit tuduhan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menimbulkan rasa tidak harmoni dalam kalangan masyarakat Islam semasa persembahannya di Kelab Komedi Crackhouse di Taman Tun Dr Ismail pada 4 Jun.

Hakim mahkamah Sesyen Siti Aminah Ghazali membenarkan Siti Nuramira diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin, dan turut memberi amaran kepadanya supaya tidak mengulas mengenai kes itu.

Pada hari yang sama, Navin, 38, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memuat naik kandungan menghina di media sosial.

Bagi pertuduhan pertama, Navin didakwa berkongsi post di akaun Instagram pada 5 Jun dengan niat untuk menghina orang lain.

Pertuduhan kedua kerana dia didakwa berkongsi kandungan melalui akaun YouTube pada 16 Jun dengan niat untuk menghina orang lain.

Hakim mahkamah Sesyen Azrul Darus membenarkan Navin diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Sept untuk sebutan semula kes.

-BTS Media

Leave a Comment