ORANG ramai, termasuk yang bukan Islam mengecam perlakuan seorang wanita Melayu yang mendakwa dia telah menghafaz 15 juzuk Al-Quran, tetapi kemudian dengan selamba membuka tudung, dan baju kurung yang dipakainya di atas pentas hingga tinggal pakaian ringkas yang mendedahkan tubuhnya.
Ada yang berkata apa yang dilakukan oleh wanita Melayu itu tidak boleh diterima sebagai komedi, mahu pun untuk menunjukkan ‘emansipasi’ wanita dalam Islam, tetapi sebaliknya dengan terang-terangan menghina.
Tindakan yang dianggap amat memalukan umat Islam itu turut mendapat sorakan dan ditepukan oleh penonton yang berada di sebuah kelab komedi di Kuala Lumpur itu.
Ramai pengguna media sosial memuat naik post mengutuk tindakan wanita tersebut, dan ada juga yang menyokongnya sambil mengambil kesempatan untuk mengecam apa yang dianggap hasil ‘kongkongan’ kuat melalui pelbagai ceramah agama yang semakin marak mengapungkan kesedaran tentang hukum sekarang ini.
Susulan video yang tersebar luas itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah memulakan siasatan awal kejadian yang dikatakan berlaku di sebuah kelab di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.
Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail berkata pihaknya mengambil maklum apa yang berlaku, dan siasatan awal telah dilakukan oleh Bahagian Penguatkuasaan jabatan tersebut.
Beliau berkata JAWI tidak akan bertolak ansur dengan sebarang perlakuan yang bertujuan menghina dan mencemarkan imej Islam, apatah lagi menjelang sambutan Aidiladha yang mulia esok (10 Jul).
Video sepanjang 54 saat itu ditularkan dalam media sosial.
-BTS Media