BTS Media

PBB gesa Taliban jangan ganggu pekerja wanita di Afghanistan

ATAS: Seorang anggota Taliban memukul sekumpulan wanita di khalayak ramai/ Gambar: Wikimedia Commons.

 

Oleh Fetty Rara

MISI Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Afghanistan menuduh pihak berkuasa Taliban mengganggu pekerja wanita badan tersebut di negara itu, dan menggesa menghormati semua kakitangannya.

Dalam satu kenyataan semalam (Isnin 12 Sept), PBB mendapati terdapat pelbagai gangguan yang dilakukan terhadap kakitangan wanita misi PBB Afghanistan oleh pihak berkuasa kerajaan Taliban.

Kenyataan itu turut merujuk kepada kejadian di mana tiga wanita Afghanistan yang bekerja untuk PBB ditahan dan disoal siasat oleh “ejen keselamatan bersenjata pihak berkuasa Taliban,” lapor abcNEWS.

PBB menggesa supaya dihentikan segera semua “ugutan dan gangguan yang menyasarkan kakitangan wanitanya di Afghanistan,” dan mengingatkan pihak berkuasa tempatan tentang kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa untuk menjamin keselamatan dan keselamatan semua kakitangan PBB yang beroperasi di negara itu.

Pihak kerajaan Taliban, bagaimana pun, dalam satu kenyataan semalam menafikan dakwaan itu.

Kenyataan itu menambah pihak berkuasa wilayah Kandahar selatan telah bertindak ke atas sekumpulan wanita yang bekerja, tetapi apabila menyedari mereka kakitangan misi PBB, wanita-wanita berkenaan tidak lagi ditahan.

Setahun selepas Taliban mengambil alih kuasa di Afghanistan, semua remaja perempuan masih dilarang  bersekolah , manakala wanita pula dikehendaki menutup tubuh dari hujung rambut hingga hujung kaki ketika berada dalam khalayak ramai.

Puak ekstremis dalam kepimpinan kerajaan Taliban dilaporkan masih tegar menguatkuasakan pelbagai sekatan terhadap remaja perempuan dan wanita dalam sektor pendidikan, walaupun sebelum ini berjanji tidak akan berbuat demikian.

Pada Sabtu lepas, pihak berkuasa Taliban menutup lima sekolah perempuan daripada gred enam ke atas di wilayah Paktia timur Afghanistan yang dibuka sebentar selepas cadangan oleh ketua-ketua kampung dan pengetua sekolah.

Awal bulan ini, empat sekolah perempuan di bandar Gardez, dan daerah Samkani mula membenarkan sekolah perempuan beroperasi tanpa kebenaran rasmi daripada Kementerian Pendidikan Taliban.

Bagaimana pun, kesemua lima sekolah itu ditutup semula oleh Taliban.

-BTS Media

Leave a Comment