Oleh Zainal AS Rashid
Polis Selangor mengesahkan bahawa dua lelaki yang didakwa menggunakan kekerasan berlebihan ketika menahan seorang lelaki, seperti ditular dalam video baru-baru ini adalah kakitangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) ibu pejabat kontinjen Selangor.
Dalam satu kenyataan ringkas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Baharudin Taib berkata anggota berkenaan sedang dalam proses menahan seorang lelaki tempatan.
Beliau menggesa orang ramai yang menyaksikan kejadian itu supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran.
Baharudin berkata demikian sebagai mengulas video sepanjang satu minit 25 saat yang tular melalui Twitter mengenai polis menggunakan kekerasan berlebihan semasa melakukan tangkapan.
Tambahnya, pihaknya juga menyiasat kejadian itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan.
-BTS Media