Oleh Yusoff A. Shariff
Cemburu mungkin punca wanita berusia 26 tahun yang mengandung tujuh bulan maut setelah ditembak di bahagian perut pada petang Sabtu di Kampung Repek, Machang, Kelantan,
Polis syak cemburu sebagai antara motif mangsa, Emirah Mazlan ditembak,
Bagaimana pun, Pemangku Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun berkata siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Tembakan turut menyebabkan bayi di dalam kandungan meninggal dunia.
Mangsa yang juga ibu kepada tiga anak berusia antara tiga hingga 10 tahun itu dikatakan telah bercerai dengan suaminya sejak Februari lalu.
Menurut Muhamad Zaki, seorang lelaki berusia 40 tahun yang mempunyai hubungan dengan mangsa ditahan bagi membantu siasatan.
Suspek direman selama lima hari bermula Khamis.
Beliau memberitahu media di Ibu Pejabat Polis Machang pada Ahad bahawa pelbagai kemungkinan diambil kira bagi menentukan punca sebenar kejadian, dan polis meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi sehingga siasatan selesai.
Muhamad Zaki berkata, polis juga sedang menyiasat, sama ada mangsa ditembak di tempat lain atau di lokasi kejadian.
-BTS Media