BTS Media

Kesesakan depoh imigresen mungkin punca rusuhan – Polis

GAMBAR ATAS: Screen grab video orang awam.

 

Oleh Zainal AS Rashid

Kesesakan di depoh Imigresen Sri Impian di Bandar Baharu, Kedah mungkin punca berlaku rusuhan dan tahanan melarikan diri.

Ketua Polis Kedah Wan Hassan Wan Ahmad berkata polis sedang menyiasat lebih lanjut perkara itu.

Beliau memberitahu media di Bandar Baharu pada Rabu bahawa 23 pegawai Jabatan Imigresen berada di depoh ketika rusuhan tercetus, tetapi tiada kecederaan dilaporkan dan hanya terdapat kerosakan kecil pada pintu utama serta pagar.

Menurut beliau kesempitan kawasan yang menempatkan terlalu ramai tahanan menjadikan keadaan tidak terkawal.

Wan Hassan berkata polis telah melancarkan Ops Cantas, yang turut membabitkan anggota daripada kontinjen Pulau Pinang untuk menjejaki tahanan yang masih belum ditangkap.

Polis mengadakan empat sekatan jalan raya di kawasan Bandar Baharu, empat di selatan Seberang Prai dan lima di kawasan Kulim, selain melakukan rondaan.

Beliau turut mengesahkan enam tahanan maut di Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Jawi apabila dilanggar kereta ketika cuba melintas.

Yang terbunuh termasuk dua kanak-kanak.

Mengulas tentang kemalangan itu, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata semasa kejadian keadaan persekitaran gelap dan tahanan pula bergerak berkumpulan hingga menyebabkan kereta berkenaan merempuh enam daripada mereka.

-BTS Media

Leave a Comment