BTS Media

SUHAKAM pandang serius kebajikan 36 kanak-kanak Indonesia yang ditahan di depoh imigresen

GAMBAR HIASAN: Tenaganita.

 

Oleh Zainal AS Rashid

SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) melahirkan kebimbangan mengenai kebajikan 36 kanak-kanak Indonesia di Depoh Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan.

Pengerusinya Profesor Datuk Dr Rahmat Mohamad, dalam satu kenyataan mencadangkan kerajaan melaksanakan Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) bagi memberikan yang terbaik untuk kanak-kanak itu.

Beliau juga menyeru agar sokongan kaunseling diberikan kepada kanak-kanak tersebut.

“Dalam hal ini, Suhakam menggesa agar sokongan kaunseling segera diberikan kepada kanak-kanak oleh pihak berkuasa berkenaan.

Beliau berkata, adalah juga diharapkan pihak berkuasa akan memberi respons terhadap keperluan jangka pendek kanak-kanak terbabit.

“Lebih-lebih lagi, memandangkan kelemahan dan sensitiviti kanak-kanak perlu sentiasa menjadi keutamaan dalam sebarang keputusan dasar imigresen,” katanya.

Kesemua 36 kanak-kanak itu ditempatkan di depoh berikutan penahanan 67 pendatang warga Indonesia oleh Jabatan Imigresen di sebuah penempatan di Nilai Spring pada 1 Feb lepas.

Dr Rahmat seterusnya mencadangkan kerajaan meneruskan program Alternatif Penahanan yang telah diluluskan oleh Kabinet.

Program tersebut adalah penting dalam menyediakan rumah selamat untuk kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak – sementara menunggu status imigresen mereka.

“Suhakam juga menyokong inisiatif kerajaan baru-baru ini untuk melanjutkan Program Penentukuran Semula Buruh 2.0 yang menetapkan pendatang tanpa izin sebagai pekerja asing sah dalam sektor ekonomi negara kita.

“Inisiatif dengan kerjasama kerajaan Indonesia itu dilihat sebagai langkah progresif untuk menyelesaikan isu imigresen di Malaysia yang sudah lama berlarutan,” katanya.

67 pendatang yang ditahan terdiri daripada 11 lelaki, 20 wanita, 20 lelaki dan 16 perempuan.

Pihak berkuasa juga menemui sebuah sekolah di tempat kanak-kanak belajar mengikut  sukatan pelajaran negara jiran.

-BTS Media

Leave a Comment