BTS Media

Kes kelab komedi: Wanita, teman lelaki akan didakwa, kata polis

 

Oleh Zainal AS Rashid

WANITA yang membuat persembahan mengundang kecaman kerana menghina Islam di sebuah kelab komedi dan teman lelakinya akan didakwa bersama, kata polis.

Setiausaha Polis DCP Noorsiah Mohd Saaduddin berkata kertas siasatan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Siti Nuramira Abdullah, akan didakwa mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan perpecahan dan mencetuskan kebencian dalam kalangan rakyat, manakala teman lelakinya Alexander Navin Vijayachandran akan didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan kemudahan rangkaian.

“Reman ke atas Siti Nuramira yang berakhir pada 12 Julai (Selasa) akan dilanjutkan sehari sehingga 13 Julai (Rabu),” kata DCP Noorsiah.

Minggu lepas, sebuah video sepanjang 54 saat yang tular dalam media sosial menunjukkan seorang wanita mendakwa telah menghafal 15 juz Al-Quran dan kemudian menanggalkan tudung dan baju kurungnya, hingga mendedahkan tubuh dengan pakaian ringkas.

Wanita tersebut ditahan pada 9 Julai dan direman di ibu pejabat polis Brickfields pada Sabtu (9 Julai) selama tiga hari sehingga 12 Julai.

Pada Ahad (10 Julai) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan penggantungan sementara kelab komedi itu sementara menunggu siasatan ke atas lesen premis berkenaan.

Semalam, (Isnin (11 Julai), polis telah menahan teman lelaki wanita itu. Dia direman selama tiga hari bermula 11 Julai hingga 13 Julai.

-BTS Media

Leave a Comment