Oleh Yusoff A. Shariff
TINDAKAN tegas akan diambil terhadap wanita yang mengerjakan umrah dengan berpakaian ihram lelaki, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.
Dalam catatan Facebook, beliau berkata beliau telah menghubungi Kementerian Dalam Negeri menggesa siasatan lanjut dijalankan sebaik sahaja individu tersebut kembali ke Malaysia.
Beliau melahirkan kebimbangan tentang berita itu kerana ini adalah isu agama.
Idris berkata Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) juga telah diminta memeriksa agensi pelancongan yang menguruskan umrah individu terbabit, dan mengambil tindakan jika perkara itu didapati benar.
Video sepanjang 17 saat yang dikongsi di Twitter pada Jumaat (12 Ogos) menunjukkan seorang wanita dikatakan warga Malaysia, berpakaian ihram lelaki di tanah suci, yang mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai.
-BTS Media