GAMBAR ATAS: Bernama.
SEORANG lelaki yang dijatuhi hukuman penjara seminggu kerana menyerang seorang pemandu wanita di Lata Iskandar, Jalan Tapah-Cameron Highlands baru-baru ini menangis di kandang tertuduh apabila dia dihukum penjara buat kali kedua hari ini.
Mohammad Zaim Faiz Tarmizi, 29, yang baru dibebaskan semalam, dijatuhkan hukuman penjara sembilan hari dan denda RM2,000 oleh majistret Qasiratuljannah Usmani Othman apabila dia mengaku bersalah menyerang dua lelaki bulan ini.
Penyelia kilang itu dituduh menyebabkan kecederaan ke atas dua pelayan restoran stimbot, Samir Das dan V. Dennis Pillai, dekat Tanah Rata pada pukul 4.20 petang 4 Jun.
Kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya S. Punitha mendesak agar tertuduh dikenakan hukuman lebih berat kerana kes itu melibatkan kepentingan awam.
Tertuduh, yang tidak diwakili peguam tidak dapat menahan air mata apabila merayu supaya diringankan hukuman atas alasan dia perlu menanggung isterinya, yang bakal melahirkan anak kedua mereka menjelang akhir bulan ini, lapor NST.
Tertuduh yang berpendapatan kira-kira RM1,500 sebulan juga berkata dia perlu menanggung kos ubat ibunya dan kesal dengan perbuatannya itu.
Isterinya membayar denda tersebut.
Pada 9 Jun, Zaim dijatuhi hukuman penjara tujuh hari selepas dia mengaku bersalah atas tuduhan menyebabkan kecederaan dan ugutan jenayah.
Bagi pertuduhan pertama, Zaim mengugut Amiera Atiqah Shahrizan, 25, dengan menyebut “pecah muka kau sat lagi”.
Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
Bagi pertuduhan kedua, dia mendatangkan kecederaan kepada orang yang sama mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Dalam video sepanjang 59 saat yang disiarkan oleh pengguna Facebook Aizacd Zack, seorang lelaki berpakaian t-shirt merah dilihat keluar dari keretanya, mengetuk tingkap pemandu dan memarahi pemandu wanita itu kerana pemanduannya apabila dia menurunkan cermin tingkap.
Pemandu wanita itu cuba menjelaskan, tetapi dia terus melemparkan kata-kata kesat kepadanya. Dia kemudian memukul kepala pemandu lebih daripada sekali.
Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata pemandu wanita itu membuat laporan di balai polis Saujana Utama di Sungai Buloh, Selangor, pada pukul 10.00 pagi Selasa.
-BTS Media