Oleh Yusoff A. Shariff
AHMAD Zahid Hamidi diberikan kebenaran khas untuk melawat Najib Razak di Penjara Kajang, kata Saifuddin Nasution Ismail.
Menteri Dalam Negeri berkata Timbalan Perdana Menteri telah diberikan kebenaran khas oleh Ketua Pengarah Jabatan Penjara.
Beliau berkata mengikut Perkara 86 Akta Peraturan Penjara 2000, kebenaran khas mesti diberikan oleh menteri atau ketua pengarah Jabatan Penjara, lapor NST.
“Dua orang yang diberi kuasa untuk meluluskan kebenaran khas itu, saya sendiri dan ketua pengarah Jabatan Penjara.
“Ketua pengarah Jabatan Penjara telah memaklumkan perkara itu kepada saya,” katanya kepada media semasa sidang media di lobi Parlimen pada Rabu (14 Jun).
Tambah Saiffuddin, sebarang perubahan tempoh lawatan bergantung kepada budi bicara pegawai yang bertanggungjawab.
Perkara 87 Akta tersebut memperuntukkan seseorang banduan berhak menerima lawatan selama 45 minit.
Satu subperaturan, bagaimanapun, menyatakan pegawai yang bertanggungjawab boleh mengubah tempoh lawatan.
Saifuddin berkata, pegawai yang bertanggungjawab diberikan kuasa untuk membuat keputusan semasa lawatan.
“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, adalah berdasarkan Akta di mana Perkara 86 dan Perkara 99 di mana pertimbangan berapa lama lawatan itu boleh dibuat.
“Saya pernah melawat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Penjara Sungai Buloh dan diberi masa 15 minit atau kadangkala 30 minit tetapi jarang dapat lawatan selama 45 minit kerana ia berdasarkan budi bicara pegawai yang bertanggungjawab,” katanya.
Perkara 99 Akta Peraturan Penjara 2000 menyatakan tiada makanan luar boleh dibawa masuk melainkan dibenarkan oleh pegawai yang bertanggungjawab.
Pada 10 Jun lalu, Ahmad Zahid mendedahkan bahawa beliau baru-baru ini melawat Najib yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun, selama lebih satu setengah jam.
Mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Menteri Dalam Negeri Shamsul Anuar Nasarah.
Ahmad Zahid berkata mereka bersarapan bersama-sama dengan makanan yang dibawa oleh Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.
-BTS Media